BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, August 23, 2009

Ibnu Tufail

Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.


Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan.Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum diterjemahkan.


Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab "Lima Baida al-Thaan", tulisan Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.


Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak diketahui oleh umat Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa pemerintahan al-Mu'min ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.


Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya'kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.


Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah "Hay ibn Yaqzan" yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam. Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.


Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.


Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya. Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah. Dengan watak "Hay" itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.


Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.


Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.


Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu beliau mudah menerima
pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik. Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat dalam kitab "al-Mutawwahid". Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan pembelaan terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.


Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima sarangan itu bulat-bulat melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.


Disebabkan oleh sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.

Saturday, August 22, 2009

Ibnu Rusyd

IBNU RUSYD
  • Nama beliau yang sebenarnya ialah Abu Al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad Ibnu Rusyd Al-Qadhi Al-Qurtubi.

  • Beliau dilahirkan pada tahun 1126M bersamaan denagn tahun 520 Hijrah di Qurtabah (Cordova)

  • Di negara-negara barat, Ibnu Rusyd dikenali sebagai ' Averroes ' dan fahaman atau pemikiran beliau dikenali sebagai ' Averroism .'

  • Beliau mempunyai keistimewaan yang diberikan Allah S.W.T. diantaranya menghafaz Al-Quran dalam usia masih muda iaitu berusia 12 tahun.

  • Beliau juga sifat keperibadian yang begitu tinggi.

Pendidikan

  • Pada peringkat awalnya, beliau mendapat pendidikan daripada bapanya di rumah. Oleh kerana keistimewaannya memiliki akal fikiran yang baik, ketika berusia 12 tahun beliau telah mempelajari ilmu falsafah.

  • Beliau mendapat pengajaran dan pendidikan daripada datuknya yang merupakan pakar dalam undang-undang Mazhab Maliki.

  • Selepas itu, beliau menyambung pelajaran dalam bidang sains, matematik, perubatan, astronomi, dan falsafah.

  • Beliau telah menghafaz kitab Al-Muattok karangan Imam Malik.

  • Beliau mempelajari ilmu perundangan daripada pakar undang-undang Mazhab Maliki, Ilmu Usuluddin daripada ulama 'Isyarah dan falsafah daripada filosot-filosot besar di Qurtubah (Cordova) termasuk Ibnu Rajah (Ibnu Majah) yang lebih dikenali dengan nama ' Avempace' di barat.

Sumbangan

  • Ibnu Rusyd merupakan seorang ahli falsafah Islam yang telah menyumbangkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan kepada manusia pada waktu itu dan zaman selepasnya dalam bidang falsafah, psikologi, pentadbiran, perubatan, dan kehakiman.

  • Hasil-hasil karya beliau dalam tersebut menjadi rujukan kepada universiti-universiti di kebanyakan negara Islam dan Eropah.

  • Selain daripada buku-buku dan risalah-risalah, Ibnu rusyd banyak juga meninggalkan kata-kata hikmat sebagai panduan dan renungan untuk kita semua, seperti:

" Pemerintahan yang adil ialah untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan diri "
" Keadilan sendi kekuasaan dan kedaulatan, kezaliman adalah bencana besar pemerintahan."
" Pemerintahan yang jahat ialah pemerintahan teokrasi yang dipimpin oleh kaum pendeta "
" Lelaki dan wanita sama dalam naluri dan kekuatan walaupun ada perbezaan dalam beberapa lapangan

Ibn Maskawaih ( pengasas teori evolusi )

Ibn Maskawaih atau nama sebenarnya Abu Ali bin Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih merupakan ilmuwan Islam yang terpenting. Walaupun pemikiran falsafahnya tidak banyak dibicarakan tetapi beliau telah mengemukakan berbagai-bagai teori falsafah penting yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah tokoh-tokoh selepasnya.


Pandangannya mengenai manusia dan perkembangan masyarakat bukan sahaja menjadi asas pemikiran ke­pada ilmuwan Islam yang lain seperti Ibnu Khaldun dan Jamaluddin Al Rini tetapi juga para sarjana Barat. Teori evolusi yang dikemukakannya telah dijadikan sebagai bahan kajian oleh Charles Darwin yang kemudiannya menerbitkan buku Origin of Species mengenai kejadian dan asal-usul manusia. Dalam buku tersebut, Charles Darwin telah menyatakan bahawa manusia berkembang secara evolusi daripada spesies hidupan yang paling ringkas kepada yang kompleks. Perkembangan itu berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa yang lama.

Hasil daripada kajian dan pemerhatiannya terhadap pelbagai spesies hidupan dan fosil di beberapa buah benua, beliau akhirnya membuat keputusan bahawa manusia se­benarnya berasal daripada beruk melalui proses evolusi. Teori evolusinya telah menjadi kontroversi dan mendapat tentangan daripada pihak gereja kerana dia menafikan peranan Tuhan dalam menjadikan kehidupan di muka bumi ini.


Namun begitu, teori berkenaan telah menjadikan Darwin terkenal dan dianggap sebagai pelopor teori evo­lusi yang digunakan oleh para sarjana dalam bidang antropologi dan sosiologi dalam menghuraikan sejarah serta perjalanan manusia serta perkembangan masyarakat. Padahal teori evolusi telah lama digunakan oleh Ibn Maskawaih dalam kajiannya mengenai perabadan ma­nusia. Menurutnya, kecerdikan manusia tidaklah mengatasi kepintaran yang dimiliki oleh beruk. Tetapi manusia menjadi lebih cerdik kerana pengalaman yang mereka peroleh dalam kehidupan bermasyarakat.


Bagi Ibn Maskawaih, manusia itu ialah sebuah dunia yang kecil dan padanya terdapat gambaran mengenai segala yang ada di dunia ini. Setiap manusia mempunyai peranannya yang tersendiri sama ada sebagai individu ataupun anggota masyarakat. Pendapat beliau ini menepati "Teori Fungsi" yang dikemukakan oleh seorang ahli sosio­logi Perancis yang bernama Auguste Comte. Sekiranya setiap anggota masyarakat melaksanakan peranan dan fungsinya maka masyarakat itu akan berada dalam keadaan yang stabil dan bersatu padu serta membolehkannya berkembang dengan teratur. Manakala sebarang gangguan terhadap fungsi itu akan mengakibatkan berlakunya konflik dan pergolakan dalam masyarakat. Secara tidak langsung akan membawa keruntuhan kepada masyarakat tersebut. Jadi, tidak keterlaluan kalau di katakan bahawa Ibn Maskawaih juga merupakan pengasas kepada Teori Fungsi yang digunakan oleh para penganalisis sosial yang menjalankan kajian tentang masyarakat kuno dan moden. Walaupun beliau terdidik dalam bidang perubatan, tetapi minatnya yang mendalam terhadap ilmu, telah mendorongnya mempelajari kesusasteraan, falsafah, kimia, bahasa, dan ilmu klasik yang lain.


Selain itu,beliau juga menguasai dan mempunyai kepakaran setiap bidang yang dipelajarinya. Ibnu Maskawaih juga ahli sejarah dan ilmuwan akhlak yang handal. Semua ilmu pengetahuan itu tidak dipelajari sekali gus seperti yang sering dilakukan oleh sarjana Islam yang lain. Beliau mempelajarinya secara berperingkat-peringkat dan akhirnya mendapati bidang falsafah sesuai dengan dirinya sebagai seorang pemikir.Memulakan kerjayanya sebagai doktor sebelum dilantik menjadi setiausaha kepada beberapa orang menteri seperti Mueiz al Daulah. Pengalaman tersebut memberikan beliau peluang yang luas untuk mendampingi masyara­kat dan orang ramai.


Selepas kematian Mueiz, beliau dilantik oleh Menteri Ibnu Amid menja­di ketua perpustakaan. Kesempatan ini telah digunakan untuk menelaah berbagai-bagai buku yang ditulis oleh para ilmuwan Islam dan Yunani. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Ketua Pemegang Amanah Khazanah yang bertanggungjawab menjaga Perpustakaan Malik Adhdud Daulah yang memerintah dari tahun 367-372H.


Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada padanya, Ibn Muskawaih telah berjaya membina ketokohannya sebagai seorang ilmuwan yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang. Banyak teori telah dihasilkan oleh beliau dan tidak terbatas kepada bi­dang falsafah semata-mata. Beliau menulis berbagai-bagai kitab yang membicarakan pelbagai persoalan. Antaranya Kitab al-Fauz al-Saghir yang menumpukan pembicaraan kepada persoalan yang berkaitan dengan metafizik iaitu tentang Allah, kerasulan dan jiwa.Kebanyakan pandangannya mengenai perkara ini disesuaikan daripada pandangan ahli falsafah Yunani. Kesan pemikiran falsafah Yunani terhadap Ibn Muskawaih dapat dilihat pada pan­dangannya mengenai jiwa. Semasa mengungkap persoalan ini, beliau menyatakan bahawa jiwa merupakan roh yang berlainan daripada tubuh dan tidak mungkin dapat dilihat dan disentuh oleh pancaindera. Baginya jiwa sesuatu yang da­pat menerima dua perkara pada satu masa yang sama seperti keadaan hitam dan putih pada satu waktu.
Beliau juga telah mengemukakan teori akhlak dalam kitabnya yang berjudul kitab Tahzib al-Akhlaq. Dalam kitab itu, beliau menyebut kemuncak akhlak ialah apabila lahirnya perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan secara teratur. Oleh itu, akhlak yang baik hanya akan lahir daripada jiwa yang bersih dan begitu juga sebaliknya.Untuk mendapat jiwa yang bersih maka anak-anak sejak kecil lagi harus didedahkan de­ngan nilai-nilai yang baik. Nilai-nilai buruk pula hanya akan mengganggu proses tumbesaran dan menyebabkan mereka membesar tanpa menghiraukan tatasusila. Anak-anak perlu dilatih pada peringkat awal tumbesaran supaya bersikap dan bertindak mengikut nilai-nilai ini agar sebati de­ngan diri serta sanubari mereka.


Ibn Maskawaih turut menulis beberapa buah kitab yang lain seperti al'Adwiah al-Mufra-dah'FaridTajarub al'Umarn sebuah catatan mengenai sejarah, al-Tabikh mengenai kaedah memasak, al'Asyribah yang membicarakan tentang minuman, al'Fauz al-Kabir, dan Tajrib al'Um.
tentang ubat-ubatan, Uns al sebuah antologi cerpen, Berdasarkan banyak kitab yang ditulisnya maka ketokohannya sebagai ahli falsafah dan pengarang tidak dapat dinafikan. Idea dan pan­dangannya jelas mendahului zaman menjadikannya sebagai salah seorang ilmuwan serta sarjana Islam yang tiada tolok bandingan pada zamannya. Sesungguhnya Ibn Maskawaih yang dilahirkan pada 330H (941M) di Kota Rhages itu akan terus dikenang sebagai seorang ahli fal­safah yang kaya dengan teori-teorinya.

Friday, August 21, 2009

salamm mahabbah fillah

Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana dengan semangat yang dikurniakan-NYA kepada kami,dapatlah kami menyiapkan blog yang tidak seberapa ini. Di sini,kami ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang beberapa orang tokoh sarjana Islam yang telah banyak memberikan sumbangan khususnya kepada masyarakat Islam hari ini dan masyarakat dunia amnya samada dari segi perubatan, pertanian dan penternakan, falsafah dan pemikiran dan sebagainya. Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk memperingati sumbangan mereka terhadap dunia kita pada hari ini. Diharapkan blog ini dapat menambahkan lagi pengetahuan rakan-rakan terhadap tokoh-tokoh sarjana Islam. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan kesalahan daripada pihak kami,kami memohon beribu kemaafan daripada rakan-rakan. Sebarang komen atau cadangan daripada rakan-rakan amatlah diharapkan....